Wednesday, July 10, 2013

Ramadhan.


" Ku mengharap Ramadhan kali ini penuh makna, agar dapat ku lalui dengan sempurna "


Bersedia untuk memaksimakan Ramadhan terakhir di Jordan. Semenjak tahun 2009, setakat ni tak pernah 'miss' lagi untuk berpuasa dekat Jordan.

Aku tak pernah sangka, sampai satu tahap aku bakal menempuh penghujung yang dulu aku asik idam. Sekarang rasa idam, nak duduk sini lama lagi pula.

...

Ramadhan kali ini pastikan ia bermakna.
Susah nak beri pengisian, kalau diri sendiri takda pengisian.

Maaf kalau aku banyak buat pihak tak senang hati. Tolong doakan aku seronok Ramadhan kali ini.

Monday, March 25, 2013

Menghargai kehidupan.


Menilai semula erti kehidupan setiap hari bukan perkara yang mudah. Ada hari kita rasa hidup kita dah cukup senang, tak perlu dimuhasabah. Ada hari kita diuji bibit kesukaran, kita mula terfikir untuk menilai kembali.

Ini cerita kehidupan. Kehidupan ini perlu dipandukan dengan hati yang bersih agar setiap detik kehidupan itu kita hargai.

Orang puji, kutuk, hina, benci, suka; tak lain tidak bukan membuatkan kita kembali dekat kepada Tuhan.

Indah sungguh jika hidup kita begitu.

....


Ada orang kata, perwatakan aku di dalam facebook sungguh berbeza dengan aku di blog.

Aku senyum. dalam hati aku kata, kau tak tengok lagi aku dalam twitter dan instagram bagaimana. :)


Wednesday, March 20, 2013

Berjiwa besar.



2013  -graduan pergigian JUST.

2017 - Sambung belajar specialist, orthodontist.

2023 - Kerja dekat luar negara.

2033 - ada klinik sendiri.

2053 - Perdana Menteri Malaysia. lulz.


...


Tak tahu nak selit part bina keluarga dekat part mana.


aku mampu merancang, Allah sahaja tentukan.

Thursday, March 14, 2013

Berhenti sebentar menasihati orang lain.



Pesanan buat diri sendiri,

Jangan terlalu asik berpesan, memberi teguran kepada orang lain sehingga terlupa untuk merenung amal diri sendiri. Adakalanya, lebih baik kita berdiam  sebentar, ambil lajak dan semangat mempersoalkan semula teguran-teguran, serta pesanan-pesanan yang telah kita berikan dekat orang lain.


Tidak hairan kenapa Ustaz Hasrizal ambil keputusan untuk berhenti bersara sebentar daripada memberi kursus motivasi.


Tuhan marah, kalau kita cakap apa yang kita tak buat.

Dr Muhaya pun pesan, kita jangan cakap selagi benda tu kita tak pernah buat dengan konsisten.

Tuesday, March 12, 2013

Bunga bukan sekuntum,



Hidup ini penuh suspense. kita tak akan pernah tahu apa yang akan berlaku sejam selepas ini, apatah lagi 5 tahun yang akan datang.

Kelihatan diluar, aku senyum hingga ke telinga, hanya Tuhan sahaja yang tahu sudah berapa banyak kali aku hampir putus asa dengan kehidupan ini.

Benar, kehidupan yang pahit sekarang, bakal menjanjikan kehidupan yang lebih manis kemudian harinya. Moga moga.

Sepahit-pahit hari ini, suatu hari akan tiba satu kemanisan yang tidak pernah kau duga. Kerana satu, manis itu tetap manis, kedua, walaupun ia hanya manis biasa, disebabkan kepahitan lalu, kau hargai seperti bidadari syurga turun ke bumi.

...


Well, bunga bukan sekuntum.

Acececeh.

Malangnya, bukan senang nak cari bunga yang dapat tenangkan jiwa.

Move on beb.

Monday, March 11, 2013

Futur.



Hidup ini jangan futur-futur.

Bangkit balik. Senyum kembali. Teruskan berjalan, walaupun merangkak. Hatta, diseret sekalipun, biarkan diri bergerak.

Tuhan ambil kira.


Tuhan tak pernah leka.

Tuhan tak pernah berkira.

Tuhan hanya mahu lihat hamba-Nya merintih kepada-Nya.

rintihlah!



Tuhan ada perancangan yang terbaik! :)

Friday, March 8, 2013

Klinik Prostodontik: Kisah Abu Yusuf.


Dalam banyak-banyak klinik, klinik prostodontik adalah antara klinik yang paling mencabar lagi menggerunkan bagi sesiapa khususnya insan yang berbangsakan 'Melayu' di Jordan ini. Klinik prostondik memerlukan kami semua, pelajar tahun 4 pergigian, untuk menyelesaikan satu tugasan, yakni 'complete denture' atau mungkin lebih masyhur dalam bahasa ibunda, gigi palsu penuh.

Bukan senang nak cari pesakit yang tidak ada gigi di negara orang ya!

Namun kali ini, aku dan partnerku, Pali cukup bertuah apabila pesakit kami  boleh dikira rezeki yang datang bergolek; aku dapat daripada dispensari, Pali pula daripada kenalan kawan arab Ajloun yang kukenali. (Terlepas kami daripada fenomena 'menganggur'. Alhamdulillah.)

Kisah pesakitku tidak seberapa epik jika hendak dibandingkan dengan pesakit pali, Abu Yusuf.


Abu Yusuf.


Lima belas minit sebelum pukul 1, yakni waktu bermulanya klinik, Abu Yusuf sudahpun memberi 'missed call' sebagai tanda beliau sudah sampai. Aku keluar dan bergerak ke pagar utama Markaz Sihhi, kelihatan seorang lelaki arab yang tidak seberapa tua dan tidak juga seberapa muda sedang tercegat di sebelah pondok jaga. Melalui, raut wajahnya aku yakin itu Abu Yusuf, dek mukanya yang sungguh 'typical Syrian'.




Aku jemput beliau masuk ke dalam klinik. Sambil bertanyakan khabar seperti biasa.
......
" Abu Yusuf, sebelum ini kena gigi-gigi kamu dicabut ye? caries ke?  sakit ke? "

" ...... "

Abu Yusuf perkatakan sesuatu, aku tidak menangkapnya dengan baik. Seolah-olah dia tidak mahu cerita lama dirungkaikan semula. Aku bertanya sekali lagi,

" Gigiku semua dicabut oleh regim Syria " balas Abu Yusuf dengan mata-mata yang sedikit terkelip-kelip.

Aku seperti tidak percaya dengan jawapannya. Keraguan aku dalam memahami  lahjah Syria Abu Yusuf, telah memaksa aku memanggil teman arab untuk menterjemahkan semula kata-katanya.

Nah, memang benar apa yang aku faham tadi. Giginya dicabut oleh Regim Bashar Al-assad!


Kami semua terdiam. Tidak tahu apa yang perlu diperkatakan. Tanpa dinafikan kekurangan vokab untuk berbicara tentang isu peperangan di Syria. Kami pilih untuk terus diam meneruskan kerja kami seperti biasa.


Dilemma.

Seperkara yang aku minat bila duduk di negara arab ini adalah, anda boleh buat mesra dengan sesiapa sahaja yang anda jumpa di tepi jalan dalam waktu yang singkat. Itu baru tepi jalan, apatah lagi bila dalam klinik, bila anda sebagai doktor, bertemu dengan pesakit.

Walaupun sebentar tadi aku sudah bertanyakan khabar Abu Yusuf, sekali lagi diatas kerusi kali ini, aku bertanyakan lagi. Ini scene biasa di negara arab. Dan aku sedang mengadaptasikan ia dalam kehidupan seharian ku.

Sementara menunggu kedatang Doktor, aku sempat berborak ringkas dengan Abu Yusuf. Perkara yang paling aku kesal sewaktu itu adalah, vokab aku untuk bicara soal-soal  peperangan dan kesusahan orang Syria ini aku agak lemah. Jadi aku lebih cenderung tanya soalan asas.

Abu Yusuf adalah seorang Syiah 'Alawi menurut kad pengenalannya. Berdasarkan wikipedia, Syiah 'Alawi atau dalam inggeris 'Alawites' adalah antara syiah yang dominan di Syria walaupun secara populasinya penganut syiah hanya berbilang 12 %. Keluarga Al-Asaad sendiri adalah penganut Syiah Alawi.

Hipotesis teman seklinik ku, Furqon kata, mungkin Abu Yusuf ini adalah 'pengkhianat' bagi regim Bashar Alasad yang mengakibatkan beliau diseksa oleh tentera-tentera si fasad itu!

Abu Yusuf tiba di Jordan pada bulan Ramadhan tahun lepas. Berdasarkan apa yang aku faham, Abu Yusuf hidup sebatang kara di Jordan ini, dan katanya, anak-anak dia telah mati di Syria.

Sejujurnya tidak tahu macam mana nak mengekpreskan simpati aku terhadapnya. Malah, memaksa diriku untuk berhenti bertanyakan terus tentang isu sensitif yang barangkali boleh meleraikan air mata Abu Yusuf, yang asik berkelip-kelip apabila aku bertanya kan tentang keluarganya dan Syria.


Kesedaran.

Aku tahu  bahawa rakyat Syria sedang merana sejak kebelakangan ini. Tetapi baru hari ini aku faham perasaan mereka bagaimana.

Barangkali hati aku terlalu keras untuk menjiwai perasaan manusia lain. Barangkali juga, sikap aku yang terlalu partikular dalam memastikan kesahihan sesuatu perkara buat aku bersikap sambil lewa dengan isu ini.

Kawasan perumahanku dikelilingi oleh pelarian Syria selama ini. Tetapi baru hari ini, aku baru sedar bahawa hati aku sudah lama diketuk.

Aku terbayang, adakah kasut mereka itu mampu aku sarung untuk aku betul-betul berjuang dengan kadar keikhlasan?

Semoga Allah membuka mata semua orang khususnya diri aku sendiri tentang isu Syria ini

Janji Allah itu pasti!

...

Nota kaki:

Untuk menyiapkan sepasang gigi palsu yang lengkap, kami memerlukan lebih kurang 3-4 kali appointment dengan pesakit. Hari ini adalah first appointment kami dengan Abu Yusuf, kami telah mengambil 'First Impression' bagi upper dan lower jaw Abu Yusuf dengan menggunakan 'Impression Compund'. First Impression ini sangat penting untuk dijadikan acuan untuk 'primary cast'. Dengan 'primary cast' kita dapat mencipta 'custom tray' yang digunakan untuk mengambil 'second impression' pada appointment kedua pada minggu yang seterusnya.

Semoga bermanfaat. Sedang cuba mengaplikasikan pembelajaran seharian untuk tatapan orang awam.

pfft. Sakit juga nak terjemah istilah inggeris dalam dentistry ke bahasa melayu.



       Pali, Abu Yusuf dan 'first impression'

Friday, March 1, 2013

Paranoid orang kita.



Paranoid orang kita sangat memelikkan. Semua kecelakaan yang berlaku diatas muka bumi ini adalah berpunca daripada orang lain.

Kelekaan umat Islam zaman sekarang ini adalah segala-galanya berpunca daripada Barat.
Kemunduran bangsa Melayu dalam menguasai Malaysia dengan baik, berpunca daripada propaganda orang Cina.

Pelik, sungguh pelik!

Jarang sekali nak menyalahkan diri sendiri !

Takziah! entum telah berjaya melambatkan kemenangan Islam!

Tuesday, February 26, 2013

Hakikat klinik pedatrik.


Klinik pedatrik bukan satu klinik yang mudah. Kiraan aku ternyata silap, yangku sangkakan bermain dengan budak kecil itu selalunya indah. Namun, ternyata hari ini aku belum cukup 'bapa' dalam melayan karenah kanak-kanak.

Di dalam klinik pedatrik, sebagai seorang pelajar pergigian Tahun 4 di JUST, anda dikehendaki memenuhi beberapa requirement yang telah ditetapkan oleh Doktor.
Begitu juga dengan klinik-klinik yang lain.
Hari ini aku cukup untung, Tuhan kurniakan aku, Ghalib melalui Hazim, untuk menjadi pesakit aku petang tadi.

Ghalib, umurnya 5 tahun, pada awalnya kelihatan riang dan ceria. Meyakinkan aku yang dia akan memberi sepenuh kerjasama sepanjang rawatan. Namun, bukan fantasinya, Ghalib bertindak sebaliknya. Semakin takut dan trauma apabila aku tersilap steps yang buat dia rasa tergugat akan keselamatannya.
Penat aku dengan partnerku, Zulfadhli, serta partnet tambahan, Azam Farhan, memujuk Ghalib untuk teruskan rawatan.

Syukurlah ada Lamees, gadis arab, rakan sekumpulan yang bertindak menjadi heroin menenangkan keadaan Gholib dengan gaya keibuannya yang cannot lose.
Begitu juga, kakak yang tolong amikkan gambar X-ray tadi, bertindak turut dengan cemerlang mengurus sikap dan sifat fitrah seorang kanak-kanak kecil.

Alhamdulillah. selesai requirement bagiku untuk scaling. Scaling budak kecil, boleh cengelat. Scaling orang tua, belum tentu kerana banyak plakus.

Ternyata, Tuhan cipta wanita boleh mengandung itu bersebab. Sentuhan keibuan itu hebat dan mampu melembutkan hati si kecil.

Hakikatnya melalui klinik pedatrik, kadangkala kita boleh tahu seseorang itu boleh manage budak kecil atau tidak.




bersama Ghalib, Abu Ghalib, Rina.
Sedang berusaha menjadi Der Zahnarzt yang sebenar.

Thursday, February 14, 2013

Kisah Labcoat


" Mama, ajib nak tempah labcoat baru. tahu tak dekat mana boleh tempah? "


" you ambil je lah abang punya dari Russia. Dia dah tak guna lagi dah "

" Okay maa "



...

siapa tak sedih apabila hilang labcoat macam tu sahaja. Punca daripada kecuaian diri, labcoat yang sepatutnya aku kepit dari pagi sampai petang, hilang daripada visi aku tiba-tiba sahaja.


Kalau labcoat beli sendiri aku tak seberapa kisah sangat. Tapi labcoat warisan daripada abang, buat aku terasa nilai sentimentalnya yang boleh buat aku jadi gila. Aku cuba flashback dalam kepala otak semasa dalam perjalanan menuju ke klinik dari universiti. 


Ouch sakit. Aku ada pergi perpustakaan, aku ada pergi kafeteria handasiah, dan aku juga ada pergi dewan kuliah al faroq. Aku buntu. Hampir kering otak bila aku perah memikirkan segala kebarangkalian kemana perginya labcoat aku.

Aku gagah kan diri untuk senyum. Aku teruskan perjalanan menuju ke klinik. Hatiku cuba berbisik, 'insyaAllah ada hikmahnya. relaks dan cool. Jangan spoil kan hari anda k? '


aku terus positif.


Tiba-tiba aku teringat prinsip aku sewaktu sekolah dahulu,

" Kalau kita hilang sesuatu barang yang kita suka, kita jangan pening kepala atau resah gelisah, yakin pada Allah, benda tu akan kembali dengan sendirinya, kalau tak datang juga, Allah nak ganti yang lebih baik daripada itu "

Prinsip ini berjaya buat aku jarang-jarang kecewa waktu sekolah dahulu. Biasalah kan, duduk asrama ni macam-macam dugaan. sekejap hilang kasut. sekejap hilang seluar. sekejap hilang buku. Ada-ada sahaja, samada salah diri sendiri yang cuai, atau salah diri lain yang perangai macam macai.

Esok

Aku gagahkan diri datang universiti awal nak menjejaki labcoat yang hilang. Aku bergegas ke kafeteria dan bertanya pada abang pengutip resit. Dengan selamba beliau jerit kepada teman sekerjanya, menanyakan jika ada terjumpa labcoat aku semalam di sekitar kafeteria. Standard arab, suara tu kalau nak jerit selamba dek dia je kan. Fuh, kecewa aku bila tahu dia kata takda.

Lusa

Fuh, sangat lega bila aku berjaya ketemu labcoat aku di dalam al farouq. Sayangnya labcoat aku bukan semata nilai sentimentalnya, tetapi cutting dan designnya yang stylo buat aku tak senang memikirkannya.

Sayang kot.


.....


Kisah labcoatku ini mungkin kelihatan kecil, tetapi aku cuba hargainya sebab ia telah mengingatkan aku bagaimana untuk bersabar.

Orang yang bersabar ini untungnya selalu tinggi dan berbaloi. 


Hidup kalau bersabar, bila kita dapat nikmat yang kita idamkan, fuh gua cakap sama lu. Sabar itu boleh kumpul rasa puas beb.

Sabarlah kerana Tuhanmu.


*Ustaz Hasrizal pesan untuk cuba hargai setiap detik kehidupan kita, dan berusaha untuk mengutip ibrah yang ada. Aku sedang struggle berusaha. Maaf kalau cerita aku tidak menarik.



Thursday, February 7, 2013

Jangka hayat yang pendek.



" Najib, saya ramalkan kamu ada tempoh lebih kurang maksimum 3 tahun sahaja lagi untuk hidup "

pesan doktor.


...

Dalam tempoh 3 tahun, apa aja yang mampu aku capai, Sekarang, dalam fikiran bermacam-macam perancangan sedang bermain. Nak kerja, nak sambung specialist maxillofacial surgery, nak kumpul duit, nak menyumbang untuk keluarga, nak duduk Germany, nak bantu masyarakat.


itu maksimum 3 tahun. Kalau minimum?


Aku berkhayal.

...

Jika benar hayatku pendek. Adakah sempat aku mencapai apa yang aku cita-citakan, paling penting sempat atau tidak utk aku kumpul hasanah melayakkan diri berjumpa dengan Tuhanku di syurga?

Maka benarlah, sebaik-baik peringatan adalah kematian.

Semoga Allah berkati kesihatan dan usiaku dengan amal kebaikan.


Semoga cepat sembuh dik.

Wednesday, February 6, 2013

Raungan.


Hati meraung mengidamkan ketenangan yang hakiki.

Bebas daripada penyakit hati.



......



Aku sibuk iri hati dengan ujian orang lain. Sedangkan ujian yang ada dihadapan mata, aku tidak reti nak hargai.

Ujian membuatkan diri kita semakin kuat.
Orang yang ujiannya besar, boleh jadi  sangat-sangat-sangat kuat serta hebat.


bersabar lah najib. Tuhan sedang menguji kamu.

semoga aku tidak tersasar.

Wednesday, January 2, 2013

Nafas baru.



Tahun baru ini memberi nafas baru kepada setiap insan yang mempunyai azam. Menjadi permulaan baru untuk tidak mengulangi kesilapan lalu.

Begitu juga aku. Harapan aku terlalu tinggi agar aku tidak mengulangi kesilapan yang seringkali aku ulangi, tanpa henti setakat ini.

Hidup ini adalah proses pembelajaran. Kita tidak akan berhenti belajar. Selagi mana kita rasa kita berhenti belajar, selagi itulah kehidupan kita membawa kesia-siaan.

...

Orang lain kata seronok buat status dapat ramai orang like. Macam artis katanya gitu.

Walhal hati merana, mencari nilai keikhlasan sekiranya terpalit dalam hati. Aku ragu-ragu apa yang aku buat itu kerana Tuhan atau sekadar mencuri perhatian.

Semakin banyak orang like status kita, semakin tinggi ujiannya Allah akan uji apa yang kita tulis.

apa erti hidup pada populariti, jika dengan Tuhan sendiri kau kedekut masa nak berkongsi.

teruskan hidup cinta. hari ini selangkah tapak maju, mendekati yang dicari.