Friday, March 8, 2013

Klinik Prostodontik: Kisah Abu Yusuf.


Dalam banyak-banyak klinik, klinik prostodontik adalah antara klinik yang paling mencabar lagi menggerunkan bagi sesiapa khususnya insan yang berbangsakan 'Melayu' di Jordan ini. Klinik prostondik memerlukan kami semua, pelajar tahun 4 pergigian, untuk menyelesaikan satu tugasan, yakni 'complete denture' atau mungkin lebih masyhur dalam bahasa ibunda, gigi palsu penuh.

Bukan senang nak cari pesakit yang tidak ada gigi di negara orang ya!

Namun kali ini, aku dan partnerku, Pali cukup bertuah apabila pesakit kami  boleh dikira rezeki yang datang bergolek; aku dapat daripada dispensari, Pali pula daripada kenalan kawan arab Ajloun yang kukenali. (Terlepas kami daripada fenomena 'menganggur'. Alhamdulillah.)

Kisah pesakitku tidak seberapa epik jika hendak dibandingkan dengan pesakit pali, Abu Yusuf.


Abu Yusuf.


Lima belas minit sebelum pukul 1, yakni waktu bermulanya klinik, Abu Yusuf sudahpun memberi 'missed call' sebagai tanda beliau sudah sampai. Aku keluar dan bergerak ke pagar utama Markaz Sihhi, kelihatan seorang lelaki arab yang tidak seberapa tua dan tidak juga seberapa muda sedang tercegat di sebelah pondok jaga. Melalui, raut wajahnya aku yakin itu Abu Yusuf, dek mukanya yang sungguh 'typical Syrian'.




Aku jemput beliau masuk ke dalam klinik. Sambil bertanyakan khabar seperti biasa.
......
" Abu Yusuf, sebelum ini kena gigi-gigi kamu dicabut ye? caries ke?  sakit ke? "

" ...... "

Abu Yusuf perkatakan sesuatu, aku tidak menangkapnya dengan baik. Seolah-olah dia tidak mahu cerita lama dirungkaikan semula. Aku bertanya sekali lagi,

" Gigiku semua dicabut oleh regim Syria " balas Abu Yusuf dengan mata-mata yang sedikit terkelip-kelip.

Aku seperti tidak percaya dengan jawapannya. Keraguan aku dalam memahami  lahjah Syria Abu Yusuf, telah memaksa aku memanggil teman arab untuk menterjemahkan semula kata-katanya.

Nah, memang benar apa yang aku faham tadi. Giginya dicabut oleh Regim Bashar Al-assad!


Kami semua terdiam. Tidak tahu apa yang perlu diperkatakan. Tanpa dinafikan kekurangan vokab untuk berbicara tentang isu peperangan di Syria. Kami pilih untuk terus diam meneruskan kerja kami seperti biasa.


Dilemma.

Seperkara yang aku minat bila duduk di negara arab ini adalah, anda boleh buat mesra dengan sesiapa sahaja yang anda jumpa di tepi jalan dalam waktu yang singkat. Itu baru tepi jalan, apatah lagi bila dalam klinik, bila anda sebagai doktor, bertemu dengan pesakit.

Walaupun sebentar tadi aku sudah bertanyakan khabar Abu Yusuf, sekali lagi diatas kerusi kali ini, aku bertanyakan lagi. Ini scene biasa di negara arab. Dan aku sedang mengadaptasikan ia dalam kehidupan seharian ku.

Sementara menunggu kedatang Doktor, aku sempat berborak ringkas dengan Abu Yusuf. Perkara yang paling aku kesal sewaktu itu adalah, vokab aku untuk bicara soal-soal  peperangan dan kesusahan orang Syria ini aku agak lemah. Jadi aku lebih cenderung tanya soalan asas.

Abu Yusuf adalah seorang Syiah 'Alawi menurut kad pengenalannya. Berdasarkan wikipedia, Syiah 'Alawi atau dalam inggeris 'Alawites' adalah antara syiah yang dominan di Syria walaupun secara populasinya penganut syiah hanya berbilang 12 %. Keluarga Al-Asaad sendiri adalah penganut Syiah Alawi.

Hipotesis teman seklinik ku, Furqon kata, mungkin Abu Yusuf ini adalah 'pengkhianat' bagi regim Bashar Alasad yang mengakibatkan beliau diseksa oleh tentera-tentera si fasad itu!

Abu Yusuf tiba di Jordan pada bulan Ramadhan tahun lepas. Berdasarkan apa yang aku faham, Abu Yusuf hidup sebatang kara di Jordan ini, dan katanya, anak-anak dia telah mati di Syria.

Sejujurnya tidak tahu macam mana nak mengekpreskan simpati aku terhadapnya. Malah, memaksa diriku untuk berhenti bertanyakan terus tentang isu sensitif yang barangkali boleh meleraikan air mata Abu Yusuf, yang asik berkelip-kelip apabila aku bertanya kan tentang keluarganya dan Syria.


Kesedaran.

Aku tahu  bahawa rakyat Syria sedang merana sejak kebelakangan ini. Tetapi baru hari ini aku faham perasaan mereka bagaimana.

Barangkali hati aku terlalu keras untuk menjiwai perasaan manusia lain. Barangkali juga, sikap aku yang terlalu partikular dalam memastikan kesahihan sesuatu perkara buat aku bersikap sambil lewa dengan isu ini.

Kawasan perumahanku dikelilingi oleh pelarian Syria selama ini. Tetapi baru hari ini, aku baru sedar bahawa hati aku sudah lama diketuk.

Aku terbayang, adakah kasut mereka itu mampu aku sarung untuk aku betul-betul berjuang dengan kadar keikhlasan?

Semoga Allah membuka mata semua orang khususnya diri aku sendiri tentang isu Syria ini

Janji Allah itu pasti!

...

Nota kaki:

Untuk menyiapkan sepasang gigi palsu yang lengkap, kami memerlukan lebih kurang 3-4 kali appointment dengan pesakit. Hari ini adalah first appointment kami dengan Abu Yusuf, kami telah mengambil 'First Impression' bagi upper dan lower jaw Abu Yusuf dengan menggunakan 'Impression Compund'. First Impression ini sangat penting untuk dijadikan acuan untuk 'primary cast'. Dengan 'primary cast' kita dapat mencipta 'custom tray' yang digunakan untuk mengambil 'second impression' pada appointment kedua pada minggu yang seterusnya.

Semoga bermanfaat. Sedang cuba mengaplikasikan pembelajaran seharian untuk tatapan orang awam.

pfft. Sakit juga nak terjemah istilah inggeris dalam dentistry ke bahasa melayu.



       Pali, Abu Yusuf dan 'first impression'

3 comments:

Anonymous said...

Kesian nye mereka diseksa dia seperti itu. Apakah dosa dia sampai kena macam tu sekali?

Anonymous said...

biasanya kita akan guna istilah 'primary impression' , sebab 'first impression' tu lebih kepada pandangan pertama kita pada sesuatu.

iye dak? hehe :)

Najib Daud said...

Anon 1: mungkin dosa kita semua? :/

Anon 2: haha. oh ye ye. maaf, eksaited sangat menulis sampai tersilap. terima kasih. 'primary impression' seharusnya.