Sunday, April 20, 2014

ikhtilat dan korek hidung.


Seminggu dua ini, Jordan dibanjiri dengan kehadiran beberapa selebriti Malaysia yang sudah tentu tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat Malaysia di sini.

Entah tiba-tiba, timbul isu mahasiswa-mahasiswi di sini tidak seberapa nak 'behave' dengan kehadiran ikon-ikon ini. Sejujurnya aku tak seberapa nak perasan, tapi bila baca tweet dan status beberapa sahabat di twitter dan facebook, aku rasa macam isu ini sudah jadi berat.

Isunya dikatakan mahasiswa-mahasiswi sini bila bergambar atau berinteraksi dengan selebriti non-mahram, kelihatan mereka tidak menunjukkan akhlak yang sepatutnya. Begitu juga dengan gurauan kata-kata yang kurang manis di alam maya berkaitan selebriti non-mahram.

Syukur Tuhan akaun instagram dan twitter lama aku kena block. Aku tak minat sangat tengok drama alam maya ni.

....

Kalau sembang pasal perhubungan lelaki-perempuan bukan mahram di Jordan ini, lazimnya orang akan kaitkan dengan isu ikhtilat. Isu ikhtilat ini bagi aku dia isu legend, isu subjektif yang saban tahun tidak ada jalan solusinya.

Aku bukan ustaz nak berbicara tentang soal hukum hakam, tetapi aku rasa isu ikhtilat ini perlu diperjelaskan di dalam masyarakat tentang di mana sebenarnya ia terletak kedudukannya di dalam agama kita ?

Aku cuba berpendapat.

Isu ikhtilat ini ada macam sama sikit dengan isu korek hidung bulan puasa.

Maaflah bunyi macam jijik sikit. Tapi setakat ini, ini analogi yang paling sesuai aku boleh cari. lol.

Teringat masa sekolah dahulu, ustaz ajar kalau korek hidung masa tengah puasa, puasa boleh batal.  Gigih kami menahan kehendak dan seksa jari-jemari kami dari singgah ke dalam rongga hidung yang penuh kekotoran. Pahitnya, Tuhan sahaja yang tahu. Tapi sedikit lega apabila ustaz kata kalau nak korek pun, korek sikit sahaja bahagian paling depan lubang hidung. So selalunya dekat situ adalah kawasan favourite hidung gatal. Syukur !

Apabila masuk universiti, diketemukan dengan kawan-kawan yang belajar Syariah, sheikh-sheikh arab di Jordan, aku baru jelas bahawa sebenarnya tak batal pun korek hidung ketika sedang puasa. Yang batalnya bila aku korek sampai tembus ke dalam rongga pharynx aku, yakni rongga utama yang menyambungkan mulut kita dengan hidung kita. Ha, kau mampu korek sedalam itu ?

Cumanya, yang aku belajar, korek hidung itu makruh hukumnya. Bermaksud, selagi mana aku boleh elakkan, aku harus elakkan. Tapi kalau dah sesak sangat, takkan lah aku mahu biar tergantung sumbat sahaja bukan ?  betulkan aku kalau aku salah.

Walaupun tak  batal puasa kalau korek hidung, sudah tentu kita tak korek hidung dekat khalayak ramai dengan mudah bukan? paling kurang kita akan cover sikit untuk lepaskan hajat.

Sebab apa kita perlu cover? pertama sebab common sensenya korek hidung  secara terbuka dekat tempat awam ini memang tidak manis orang kata. Kedua, walaupun kita tahu hukumnya hanya makruh, tetapi  mentaliti kita masih terlekat dengan hukum 'terbatal puasa' yang kita belajar dulu. So bagi mengelakkan fitnah kita tak puasa khususnya bagi orang lain yang mungkin tidak jelas tentang hukum ini, kita cover lah kan. lols.


Apa yang sama sangat korek hidung dengan bab ikhtilat ini. mungkin kau tertanya.

Bagi aku, isu korek hidung masa tengah puasa dan isu ikhtilat ini, dia ada sedikit persamaan tentang persepsi dan pengetahuan samar-samar masyarakat mengenai hukumn sebenarya.

Aku tak berani nak samakan ikhtilat ni haram dia macam terbatalnya puasa bila korek hidung sampai rongga dalam. tak berani juga aku nak samakan ikhtilat ini makruh/harus dia seperti korek hidung ringan-ringan.
 Itu bukan bidang aku.

Cuma bagi aku, kesamaran kefahaman masyarakat tentang isu ikhtilat ini mengakibatkan timbul masalah label-melabel ataupun scapegoating dalam masyarakat kita.

Ada orang menganggap berhubung dengan orang bukan mahram tanpa urusan penting itu seharusnya dielakkan. Ada juga yang berpendapat, bertanya khabar, berkongsi cerita tentang minat yang sama itu termasuk juga sebagai urusan yang penting. Sepenting menjaga silaturahim yang telah terjalin. Ada juga yang kata, hubungan lelaki-perempuan yang bukan mahram itu seharusnya tidak wujud, yang wujud hanyalah ikatan suami-isteri.

Bagi aku, bagi menghormati perbezaan persepsi masyarakat mengenai isu ikhtilat ini, aku berikhtilat seperti aku korek hidung masa tengah puasa.

Aku berikhtilat (baca: mualamat) bila aku perlu. ( Entahlah ada orang kata muamalat dengan ikhtilat tu berbeza. Bagi aku macam sama je ). Kalau dekat klinik atau dekat kelas di universiti, aku ada sejumlah kenalan perempuan. Macam mana aku kenal? haa. ada kenal sebab dia sama group dengan aku. ada aku kenal sebab dia duduk dalam kelas sebelah aku. ada aku kenal sebab dia pernah tolong aku. macam-macam lagi lah peristiwa yang membuatkan aku ada kenalan perempuan ni. So basically aku takdalah rajin sangat nak borak dengan dorang kalau takda hal. Tapi kalau terjumpa dekat klinik (especially budak group), selalunya masing-masing akan tegur tanya khabar. Tak borak panjang, senyum sedikit lepas tu, buat kerja lain. Standard budaya arab lah kan. Begitu juga apa yang aku buat dengan kawan-kawan lelaki yang lain. Tapi itu kalau selalunya dengan kawan perempuan arab lah.

Kalau dengan kawan perempuan melayu, selalunya yang aku kenal adalah orang yang pernah kerja persatuan dengan aku, kawan sebatch, takpun kenalan random instagram/twitter. Tapi fokus aku lebih kepada yang dua golongan pertama tu. Memandangkan budaya melayu tak macam budaya arab, tegur tanya khabar tu aku tak buat sangat. Tapi selalunya bila berselisih, aku tak rasa awkward nak berhubung,paling kurang  aku akan senyum simbolik tegur. Tapi ikut juga, tak semua orang kau boleh buat macam tu. Aku tak kisah, aku hormati perbezaan pendapat yang ada. Kalau tak tegur/senyum pun tak putus kawan rasanya.

Mungkin kau tanya aku, perlu ke nak tegur dan layan depa semua? bagi aku perlu, dan ia juga adalah tanggungjawab aku. Takkanlah orang nak buat baik dengan kita tegur tanya khabar etc, kita buat dek sombong je kann? Macam luas sahajakan definis 'perlu' aku tu, tapi sejujurnya begitu lah yang aku treat non-mahram aku. Dalam waktu yang sama, aku berusaha menjaga batasan-batasan yang agama ajar.

Dekat tempat awam aku  berusaha untuk limitasikan ikhtilat aku. Kenapa nak takut kalau kita tak salah mungkin kau tanya? tapi bagi aku kita kena jauhkan fitnah selagi mana kita boleh jauhkan walaupun ia satu keperluan, macam isu korek hidung aku  cerita tadi. Lebih teruk fitnah itu bukan dekat aku sahaja, fitnah itu juga dekat perempuan yang aku berikhtilat bersama. Tetapi adakah bermaksud dekat tempat tertutup aku  bebas berikhtilat mungkin kau tanya? seperti aku cakap tadi, aku berikhtilat bila ada hal keperluan sahaja. Hal keperluan ini subjektif bagi setiap orang. Bagi aku, subjektifnya bab ikhtilat ni cuba kau ukur dengan tahap kekhusyukkan kau dalam solat. Kalau kau di jalan yang benar insyaAllah, solat kau boleh fokus. Tapi apa-apa pun, garisan hukum dari sudut keilmuan  dan dalil itu adalah keutamaan ! Allah itu Maha Melihat lagi Maha Mengetahui .

Bagi aku walaupun analogi ini tak boleh kita ambil bulat-bulat. Namun paling kurang aku harap kita sedar peranan kita dimana.

Aku hanya berkongsi pendapat, dan tidak semestinya pendapat aku ini benar. Pendapat aku ini datang dari logik akal dan pengalaman, mungkin kurang kukuh dari sudut dalil.

Kalau bab dalil-hukum, aku serahkan dekat ustaz-ustazah untuk bincang dan perjelaskan kepada kami ,orang awam. Tapi kalau boleh biarlah bersesuaian dengan waqi' dan masyarakat setempat. T

.....

Aku ada terbaca tweet si polan, yang mafhumnya lebih kurang, dia rasa menyampah dengan segelintir golongan yang so-called 'belajar agama' serta belajar timur tengah secara umumnya, yang beraksi tidak begitu manis, tergedik-gedik  bila bergambar dengan mat luthfi.

Aku rasa ramai yang tangkap gambar dengan mat. Cuma tak tahu berapa ramai yang gedik masa tangkap gambar. So bagi aku tak salah pun kalau nak bergambar, cuma kalau tergedik-gedik tu memang macam nak mintak penampar gamaknya.

Jaga sikit maruah diri awak tu, bukan sebab awak belajar agama, bukan sebab awak belajar timur tengah, tapi sebab awak tu orang islam !



maaf kalau terkasar bahasa dan analogi ini terlalu ridiculous. haha.

selamattt.

Wednesday, July 10, 2013

Ramadhan.


" Ku mengharap Ramadhan kali ini penuh makna, agar dapat ku lalui dengan sempurna "


Bersedia untuk memaksimakan Ramadhan terakhir di Jordan. Semenjak tahun 2009, setakat ni tak pernah 'miss' lagi untuk berpuasa dekat Jordan.

Aku tak pernah sangka, sampai satu tahap aku bakal menempuh penghujung yang dulu aku asik idam. Sekarang rasa idam, nak duduk sini lama lagi pula.

...

Ramadhan kali ini pastikan ia bermakna.
Susah nak beri pengisian, kalau diri sendiri takda pengisian.

Maaf kalau aku banyak buat pihak tak senang hati. Tolong doakan aku seronok Ramadhan kali ini.

Monday, March 25, 2013

Menghargai kehidupan.


Menilai semula erti kehidupan setiap hari bukan perkara yang mudah. Ada hari kita rasa hidup kita dah cukup senang, tak perlu dimuhasabah. Ada hari kita diuji bibit kesukaran, kita mula terfikir untuk menilai kembali.

Ini cerita kehidupan. Kehidupan ini perlu dipandukan dengan hati yang bersih agar setiap detik kehidupan itu kita hargai.

Orang puji, kutuk, hina, benci, suka; tak lain tidak bukan membuatkan kita kembali dekat kepada Tuhan.

Indah sungguh jika hidup kita begitu.

....


Ada orang kata, perwatakan aku di dalam facebook sungguh berbeza dengan aku di blog.

Aku senyum. dalam hati aku kata, kau tak tengok lagi aku dalam twitter dan instagram bagaimana. :)


Wednesday, March 20, 2013

Berjiwa besar.



2013  -graduan pergigian JUST.

2017 - Sambung belajar specialist, orthodontist.

2023 - Kerja dekat luar negara.

2033 - ada klinik sendiri.

2053 - Perdana Menteri Malaysia. lulz.


...


Tak tahu nak selit part bina keluarga dekat part mana.


aku mampu merancang, Allah sahaja tentukan.

Thursday, March 14, 2013

Berhenti sebentar menasihati orang lain.



Pesanan buat diri sendiri,

Jangan terlalu asik berpesan, memberi teguran kepada orang lain sehingga terlupa untuk merenung amal diri sendiri. Adakalanya, lebih baik kita berdiam  sebentar, ambil lajak dan semangat mempersoalkan semula teguran-teguran, serta pesanan-pesanan yang telah kita berikan dekat orang lain.


Tidak hairan kenapa Ustaz Hasrizal ambil keputusan untuk berhenti bersara sebentar daripada memberi kursus motivasi.


Tuhan marah, kalau kita cakap apa yang kita tak buat.

Dr Muhaya pun pesan, kita jangan cakap selagi benda tu kita tak pernah buat dengan konsisten.

Tuesday, March 12, 2013

Bunga bukan sekuntum,



Hidup ini penuh suspense. kita tak akan pernah tahu apa yang akan berlaku sejam selepas ini, apatah lagi 5 tahun yang akan datang.

Kelihatan diluar, aku senyum hingga ke telinga, hanya Tuhan sahaja yang tahu sudah berapa banyak kali aku hampir putus asa dengan kehidupan ini.

Benar, kehidupan yang pahit sekarang, bakal menjanjikan kehidupan yang lebih manis kemudian harinya. Moga moga.

Sepahit-pahit hari ini, suatu hari akan tiba satu kemanisan yang tidak pernah kau duga. Kerana satu, manis itu tetap manis, kedua, walaupun ia hanya manis biasa, disebabkan kepahitan lalu, kau hargai seperti bidadari syurga turun ke bumi.

...


Well, bunga bukan sekuntum.

Acececeh.

Malangnya, bukan senang nak cari bunga yang dapat tenangkan jiwa.

Move on beb.

Monday, March 11, 2013

Futur.



Hidup ini jangan futur-futur.

Bangkit balik. Senyum kembali. Teruskan berjalan, walaupun merangkak. Hatta, diseret sekalipun, biarkan diri bergerak.

Tuhan ambil kira.


Tuhan tak pernah leka.

Tuhan tak pernah berkira.

Tuhan hanya mahu lihat hamba-Nya merintih kepada-Nya.

rintihlah!



Tuhan ada perancangan yang terbaik! :)

Friday, March 8, 2013

Klinik Prostodontik: Kisah Abu Yusuf.


Dalam banyak-banyak klinik, klinik prostodontik adalah antara klinik yang paling mencabar lagi menggerunkan bagi sesiapa khususnya insan yang berbangsakan 'Melayu' di Jordan ini. Klinik prostondik memerlukan kami semua, pelajar tahun 4 pergigian, untuk menyelesaikan satu tugasan, yakni 'complete denture' atau mungkin lebih masyhur dalam bahasa ibunda, gigi palsu penuh.

Bukan senang nak cari pesakit yang tidak ada gigi di negara orang ya!

Namun kali ini, aku dan partnerku, Pali cukup bertuah apabila pesakit kami  boleh dikira rezeki yang datang bergolek; aku dapat daripada dispensari, Pali pula daripada kenalan kawan arab Ajloun yang kukenali. (Terlepas kami daripada fenomena 'menganggur'. Alhamdulillah.)

Kisah pesakitku tidak seberapa epik jika hendak dibandingkan dengan pesakit pali, Abu Yusuf.


Abu Yusuf.


Lima belas minit sebelum pukul 1, yakni waktu bermulanya klinik, Abu Yusuf sudahpun memberi 'missed call' sebagai tanda beliau sudah sampai. Aku keluar dan bergerak ke pagar utama Markaz Sihhi, kelihatan seorang lelaki arab yang tidak seberapa tua dan tidak juga seberapa muda sedang tercegat di sebelah pondok jaga. Melalui, raut wajahnya aku yakin itu Abu Yusuf, dek mukanya yang sungguh 'typical Syrian'.




Aku jemput beliau masuk ke dalam klinik. Sambil bertanyakan khabar seperti biasa.
......
" Abu Yusuf, sebelum ini kena gigi-gigi kamu dicabut ye? caries ke?  sakit ke? "

" ...... "

Abu Yusuf perkatakan sesuatu, aku tidak menangkapnya dengan baik. Seolah-olah dia tidak mahu cerita lama dirungkaikan semula. Aku bertanya sekali lagi,

" Gigiku semua dicabut oleh regim Syria " balas Abu Yusuf dengan mata-mata yang sedikit terkelip-kelip.

Aku seperti tidak percaya dengan jawapannya. Keraguan aku dalam memahami  lahjah Syria Abu Yusuf, telah memaksa aku memanggil teman arab untuk menterjemahkan semula kata-katanya.

Nah, memang benar apa yang aku faham tadi. Giginya dicabut oleh Regim Bashar Al-assad!


Kami semua terdiam. Tidak tahu apa yang perlu diperkatakan. Tanpa dinafikan kekurangan vokab untuk berbicara tentang isu peperangan di Syria. Kami pilih untuk terus diam meneruskan kerja kami seperti biasa.


Dilemma.

Seperkara yang aku minat bila duduk di negara arab ini adalah, anda boleh buat mesra dengan sesiapa sahaja yang anda jumpa di tepi jalan dalam waktu yang singkat. Itu baru tepi jalan, apatah lagi bila dalam klinik, bila anda sebagai doktor, bertemu dengan pesakit.

Walaupun sebentar tadi aku sudah bertanyakan khabar Abu Yusuf, sekali lagi diatas kerusi kali ini, aku bertanyakan lagi. Ini scene biasa di negara arab. Dan aku sedang mengadaptasikan ia dalam kehidupan seharian ku.

Sementara menunggu kedatang Doktor, aku sempat berborak ringkas dengan Abu Yusuf. Perkara yang paling aku kesal sewaktu itu adalah, vokab aku untuk bicara soal-soal  peperangan dan kesusahan orang Syria ini aku agak lemah. Jadi aku lebih cenderung tanya soalan asas.

Abu Yusuf adalah seorang Syiah 'Alawi menurut kad pengenalannya. Berdasarkan wikipedia, Syiah 'Alawi atau dalam inggeris 'Alawites' adalah antara syiah yang dominan di Syria walaupun secara populasinya penganut syiah hanya berbilang 12 %. Keluarga Al-Asaad sendiri adalah penganut Syiah Alawi.

Hipotesis teman seklinik ku, Furqon kata, mungkin Abu Yusuf ini adalah 'pengkhianat' bagi regim Bashar Alasad yang mengakibatkan beliau diseksa oleh tentera-tentera si fasad itu!

Abu Yusuf tiba di Jordan pada bulan Ramadhan tahun lepas. Berdasarkan apa yang aku faham, Abu Yusuf hidup sebatang kara di Jordan ini, dan katanya, anak-anak dia telah mati di Syria.

Sejujurnya tidak tahu macam mana nak mengekpreskan simpati aku terhadapnya. Malah, memaksa diriku untuk berhenti bertanyakan terus tentang isu sensitif yang barangkali boleh meleraikan air mata Abu Yusuf, yang asik berkelip-kelip apabila aku bertanya kan tentang keluarganya dan Syria.


Kesedaran.

Aku tahu  bahawa rakyat Syria sedang merana sejak kebelakangan ini. Tetapi baru hari ini aku faham perasaan mereka bagaimana.

Barangkali hati aku terlalu keras untuk menjiwai perasaan manusia lain. Barangkali juga, sikap aku yang terlalu partikular dalam memastikan kesahihan sesuatu perkara buat aku bersikap sambil lewa dengan isu ini.

Kawasan perumahanku dikelilingi oleh pelarian Syria selama ini. Tetapi baru hari ini, aku baru sedar bahawa hati aku sudah lama diketuk.

Aku terbayang, adakah kasut mereka itu mampu aku sarung untuk aku betul-betul berjuang dengan kadar keikhlasan?

Semoga Allah membuka mata semua orang khususnya diri aku sendiri tentang isu Syria ini

Janji Allah itu pasti!

...

Nota kaki:

Untuk menyiapkan sepasang gigi palsu yang lengkap, kami memerlukan lebih kurang 3-4 kali appointment dengan pesakit. Hari ini adalah first appointment kami dengan Abu Yusuf, kami telah mengambil 'First Impression' bagi upper dan lower jaw Abu Yusuf dengan menggunakan 'Impression Compund'. First Impression ini sangat penting untuk dijadikan acuan untuk 'primary cast'. Dengan 'primary cast' kita dapat mencipta 'custom tray' yang digunakan untuk mengambil 'second impression' pada appointment kedua pada minggu yang seterusnya.

Semoga bermanfaat. Sedang cuba mengaplikasikan pembelajaran seharian untuk tatapan orang awam.

pfft. Sakit juga nak terjemah istilah inggeris dalam dentistry ke bahasa melayu.



       Pali, Abu Yusuf dan 'first impression'

Friday, March 1, 2013

Paranoid orang kita.



Paranoid orang kita sangat memelikkan. Semua kecelakaan yang berlaku diatas muka bumi ini adalah berpunca daripada orang lain.

Kelekaan umat Islam zaman sekarang ini adalah segala-galanya berpunca daripada Barat.
Kemunduran bangsa Melayu dalam menguasai Malaysia dengan baik, berpunca daripada propaganda orang Cina.

Pelik, sungguh pelik!

Jarang sekali nak menyalahkan diri sendiri !

Takziah! entum telah berjaya melambatkan kemenangan Islam!

Tuesday, February 26, 2013

Hakikat klinik pedatrik.


Klinik pedatrik bukan satu klinik yang mudah. Kiraan aku ternyata silap, yangku sangkakan bermain dengan budak kecil itu selalunya indah. Namun, ternyata hari ini aku belum cukup 'bapa' dalam melayan karenah kanak-kanak.

Di dalam klinik pedatrik, sebagai seorang pelajar pergigian Tahun 4 di JUST, anda dikehendaki memenuhi beberapa requirement yang telah ditetapkan oleh Doktor.
Begitu juga dengan klinik-klinik yang lain.
Hari ini aku cukup untung, Tuhan kurniakan aku, Ghalib melalui Hazim, untuk menjadi pesakit aku petang tadi.

Ghalib, umurnya 5 tahun, pada awalnya kelihatan riang dan ceria. Meyakinkan aku yang dia akan memberi sepenuh kerjasama sepanjang rawatan. Namun, bukan fantasinya, Ghalib bertindak sebaliknya. Semakin takut dan trauma apabila aku tersilap steps yang buat dia rasa tergugat akan keselamatannya.
Penat aku dengan partnerku, Zulfadhli, serta partnet tambahan, Azam Farhan, memujuk Ghalib untuk teruskan rawatan.

Syukurlah ada Lamees, gadis arab, rakan sekumpulan yang bertindak menjadi heroin menenangkan keadaan Gholib dengan gaya keibuannya yang cannot lose.
Begitu juga, kakak yang tolong amikkan gambar X-ray tadi, bertindak turut dengan cemerlang mengurus sikap dan sifat fitrah seorang kanak-kanak kecil.

Alhamdulillah. selesai requirement bagiku untuk scaling. Scaling budak kecil, boleh cengelat. Scaling orang tua, belum tentu kerana banyak plakus.

Ternyata, Tuhan cipta wanita boleh mengandung itu bersebab. Sentuhan keibuan itu hebat dan mampu melembutkan hati si kecil.

Hakikatnya melalui klinik pedatrik, kadangkala kita boleh tahu seseorang itu boleh manage budak kecil atau tidak.




bersama Ghalib, Abu Ghalib, Rina.
Sedang berusaha menjadi Der Zahnarzt yang sebenar.

Thursday, February 14, 2013

Kisah Labcoat


" Mama, ajib nak tempah labcoat baru. tahu tak dekat mana boleh tempah? "


" you ambil je lah abang punya dari Russia. Dia dah tak guna lagi dah "

" Okay maa "



...

siapa tak sedih apabila hilang labcoat macam tu sahaja. Punca daripada kecuaian diri, labcoat yang sepatutnya aku kepit dari pagi sampai petang, hilang daripada visi aku tiba-tiba sahaja.


Kalau labcoat beli sendiri aku tak seberapa kisah sangat. Tapi labcoat warisan daripada abang, buat aku terasa nilai sentimentalnya yang boleh buat aku jadi gila. Aku cuba flashback dalam kepala otak semasa dalam perjalanan menuju ke klinik dari universiti. 


Ouch sakit. Aku ada pergi perpustakaan, aku ada pergi kafeteria handasiah, dan aku juga ada pergi dewan kuliah al faroq. Aku buntu. Hampir kering otak bila aku perah memikirkan segala kebarangkalian kemana perginya labcoat aku.

Aku gagah kan diri untuk senyum. Aku teruskan perjalanan menuju ke klinik. Hatiku cuba berbisik, 'insyaAllah ada hikmahnya. relaks dan cool. Jangan spoil kan hari anda k? '


aku terus positif.


Tiba-tiba aku teringat prinsip aku sewaktu sekolah dahulu,

" Kalau kita hilang sesuatu barang yang kita suka, kita jangan pening kepala atau resah gelisah, yakin pada Allah, benda tu akan kembali dengan sendirinya, kalau tak datang juga, Allah nak ganti yang lebih baik daripada itu "

Prinsip ini berjaya buat aku jarang-jarang kecewa waktu sekolah dahulu. Biasalah kan, duduk asrama ni macam-macam dugaan. sekejap hilang kasut. sekejap hilang seluar. sekejap hilang buku. Ada-ada sahaja, samada salah diri sendiri yang cuai, atau salah diri lain yang perangai macam macai.

Esok

Aku gagahkan diri datang universiti awal nak menjejaki labcoat yang hilang. Aku bergegas ke kafeteria dan bertanya pada abang pengutip resit. Dengan selamba beliau jerit kepada teman sekerjanya, menanyakan jika ada terjumpa labcoat aku semalam di sekitar kafeteria. Standard arab, suara tu kalau nak jerit selamba dek dia je kan. Fuh, kecewa aku bila tahu dia kata takda.

Lusa

Fuh, sangat lega bila aku berjaya ketemu labcoat aku di dalam al farouq. Sayangnya labcoat aku bukan semata nilai sentimentalnya, tetapi cutting dan designnya yang stylo buat aku tak senang memikirkannya.

Sayang kot.


.....


Kisah labcoatku ini mungkin kelihatan kecil, tetapi aku cuba hargainya sebab ia telah mengingatkan aku bagaimana untuk bersabar.

Orang yang bersabar ini untungnya selalu tinggi dan berbaloi. 


Hidup kalau bersabar, bila kita dapat nikmat yang kita idamkan, fuh gua cakap sama lu. Sabar itu boleh kumpul rasa puas beb.

Sabarlah kerana Tuhanmu.


*Ustaz Hasrizal pesan untuk cuba hargai setiap detik kehidupan kita, dan berusaha untuk mengutip ibrah yang ada. Aku sedang struggle berusaha. Maaf kalau cerita aku tidak menarik.



Thursday, February 7, 2013

Jangka hayat yang pendek.



" Najib, saya ramalkan kamu ada tempoh lebih kurang maksimum 3 tahun sahaja lagi untuk hidup "

pesan doktor.


...

Dalam tempoh 3 tahun, apa aja yang mampu aku capai, Sekarang, dalam fikiran bermacam-macam perancangan sedang bermain. Nak kerja, nak sambung specialist maxillofacial surgery, nak kumpul duit, nak menyumbang untuk keluarga, nak duduk Germany, nak bantu masyarakat.


itu maksimum 3 tahun. Kalau minimum?


Aku berkhayal.

...

Jika benar hayatku pendek. Adakah sempat aku mencapai apa yang aku cita-citakan, paling penting sempat atau tidak utk aku kumpul hasanah melayakkan diri berjumpa dengan Tuhanku di syurga?

Maka benarlah, sebaik-baik peringatan adalah kematian.

Semoga Allah berkati kesihatan dan usiaku dengan amal kebaikan.


Semoga cepat sembuh dik.

Wednesday, February 6, 2013

Raungan.


Hati meraung mengidamkan ketenangan yang hakiki.

Bebas daripada penyakit hati.



......



Aku sibuk iri hati dengan ujian orang lain. Sedangkan ujian yang ada dihadapan mata, aku tidak reti nak hargai.

Ujian membuatkan diri kita semakin kuat.
Orang yang ujiannya besar, boleh jadi  sangat-sangat-sangat kuat serta hebat.


bersabar lah najib. Tuhan sedang menguji kamu.

semoga aku tidak tersasar.

Wednesday, January 2, 2013

Nafas baru.



Tahun baru ini memberi nafas baru kepada setiap insan yang mempunyai azam. Menjadi permulaan baru untuk tidak mengulangi kesilapan lalu.

Begitu juga aku. Harapan aku terlalu tinggi agar aku tidak mengulangi kesilapan yang seringkali aku ulangi, tanpa henti setakat ini.

Hidup ini adalah proses pembelajaran. Kita tidak akan berhenti belajar. Selagi mana kita rasa kita berhenti belajar, selagi itulah kehidupan kita membawa kesia-siaan.

...

Orang lain kata seronok buat status dapat ramai orang like. Macam artis katanya gitu.

Walhal hati merana, mencari nilai keikhlasan sekiranya terpalit dalam hati. Aku ragu-ragu apa yang aku buat itu kerana Tuhan atau sekadar mencuri perhatian.

Semakin banyak orang like status kita, semakin tinggi ujiannya Allah akan uji apa yang kita tulis.

apa erti hidup pada populariti, jika dengan Tuhan sendiri kau kedekut masa nak berkongsi.

teruskan hidup cinta. hari ini selangkah tapak maju, mendekati yang dicari.

Tuesday, December 18, 2012

Manusia dan perhatian


Manusia ini selalu mengharapkan perhatian manusia.

Jangan tipu diri sendiri.


Kita akan buat apa-apa yang kita mampu untuk dapat perhatian manusia. Baik atau buruk, kita akan lakukan juga. Dengan perhatian, kita akan rasa dihargai, diperhati, kita punyai nilai.

Kita sebenarnya bukan nak perhatian, kita hanya nak kasih sayang. Orang yang dah cukup kasih sayang, jarang-jarang inginkan perhatian.

Disekolah dahulu, orang yang suka curi perhatian ini orang kata suka 'mencapub', mencari publisiti.

...

Aku nak balik Malaysia ini nak top-up kasih sayang daripada keluarga, selain daripada Tuhan dan Rasul.

Jom buru perhatian Tuhan jom!

Sunday, December 9, 2012

Pesanan seorang mama.



" Duit cukup tak? mama tahu kalau jadi ketua ni selalu kena sacrifice lebih. Dulu masa mama jadi ketua kelas, selalu 'terpaksa' dahulukan duit kalau ada apa-apa, hadiah hari guru ke apa. Lastly, bila nak minta semua balik bayar. Bukan main liat lagi. You jangan buat macam tu ok? "



Mak aku bukan seperti mak-mak kalian. Barangkali seorang doktor, seorang yang berpendidikan tinggi, belajar oversea jauh-jauh.

Mak aku orang biasa. Berasal daripada keluarga yang bukan orang senang. Mak aku ada bukak gerai jual sweetcorn dekat tepi kolam renang. Setiap hari ulang-alik sorang-sorang update stok baru sambil ayah kerja dekat KL dan anak-anak sibuk belajar.

Tapi nasihat beliau, tak pernah yang membosankan bagi aku. Ingatkan aku tentang Tuhan macam beliau yang sekolah agama. Walhal dulu sekolah convent sahaja. Hidupnya dipelajari dengan pengalaman. kehidupannya sendiri, seremeh-remeh perkara sehingga sebesar-besar perkara.

Aku tak perlu kan mak seorang doktor/aktivis dakwah yang berjaya untuk aku bangga.

Cukuplah sekadar seorang ibu yang menjual jagung, tapi tak pernah lekang dan lupa tanggungjawabnya penuh terhadap anak-anaknya.

Aku rasa sangat-sangat bersyukur dan beruntung beribukan mak aku ini.

I love you mama.

Saturday, December 8, 2012

der Zahnarzt



7 orang melayu di dalam group 5 ini bakal menggegarkan Tanah Melayu suatu hari nanti atas kapasiti seorang doktor gigi yang luar biasa.

Furqon, Azam, Aini, Kak Syidah, Kent, Pali, Saya.


Hirup nafas baru. Der Zahnarzt itu maksudnya 'The Dentist' dalam bahasa jerman.

Hati ini berbolak-balik.


Pernahkah anda merasakan hati ini rasa berbolak balik tidak tentu fasal?

Semalam semangatnya rasa begitu tinggi, jihadnya begitu jitu.
Namun hari ini terasa sungguh futur, seolah-olah tidak pernah datang semangat yang semalam.


...


Sibukkan diri dengan kebaikan, jangan diberi peluang pada kejahatan. Lama-lama hilang sensitiviti diri itu.

Tangisan menggugut diri, kerna gagal melaksanakan dengan baik, apa yang selalu diperkatakan.

Ya Allah, ampunkan aku.



Selamat hari jadi.


Thursday, October 4, 2012

Hidup ini kena pandai gamble.



Pengalaman hari ini buat bertambah semangat lagi untuk 'gamble' sahaja dalam hidup ini.

Kadangkala kita hidup terlalu takut dengan kesalahan, yang akhirnya tidak membuahkan apa-apa manfaat kepada kita, malahan kerugian yang nyata.

Dr Ziad hari ini banyak marah aku dalam lab. Tetapi aku tabahkan diri untuk menghadap beliau dengan pertanyaan, cuba melapangkan dada bersangka baik dengan guru yang kelihatan bengis sentiasa.

Apabila dimarah, aku cuba mencari nilai keilmuan yang aku boleh pelajari dalam diam.

Aku memaksa diri untuk berinteraksi dengan beliau, walaupun dibalas dengan muka yang tawar senyuman. Kalau nak ikutkan hati yang keras ini, memang biaq pi lah doktor tu.

Cuma bila teringat dengan azam  baru aku untuk buat 'relationship' yang baik dengan guru, bagi mendapat keberkatan ilmu. Aku paksa segalanya.

Aku masih cuba menganalisis karakter, insan unik seperti Dr Ziad ini.

Segarang-garang beliau, beliau juga yang tolong aku ambil first impression untuk both arches bagi patient aku.


Dekat dunia ini, banyak benda yang kita nampak buruk, ada nilai positifnya jika kita selidik.


Moga terus tabah. Terima kasih Abu Muhammad sebab sudi datang, memudahkan tugasanku sebagai pelajar dentist tahun 4.

Friday, August 3, 2012

Cuti yang panjang.


Kita akan rasa rindu dengan orang yang kita betul-betul sayang.

Kalau kita tak rasa rindu, maksudnya ada something wrong lah tu dengan 'sayang' kita tu.



Cuti kali ini akan jadi sia-sia jika kita tidak merancangnya dengan baik. Kalau kamu balik Malaysia pun, tapi tiada perancangan yang rapi, kerugian itu tetap akan menanti.


Rancanglah cuti kamu dengan sesuatu yang baik. Seperti sesuatu yang dapat meningkat produktiviti diri, sesuatu yang mampu memberi manfaat pada diri dan masyarakat setempat, sesuatu yang tidak menggugat iman, dalam erti kata lain sesuatu yang menyuburkan keimanan.




Kehilangan melahirkan kesunyian. Tidak mahu hilang Allah? tinggalkan larangan-Nya.
Maka akan tertanggallah kesunyian serta-merta.

Dengan mengingati Allah, hati akan tenang.




Semoga cuti kali ini penuh terancang.